ISTIQAMAH...Diperlukan dalam setiap ibadah..

Posted by BALAI ISLAM 8TH | 8:05 AM | 0 comments »

ISTIQAMAH secara umumnya bermaksud menumpukan komitmen untuk melaksanakan sesuatu perkara dengan penuh konsisten dan kesungguhan. Istiqamah adalah sikap terpuji yang perlu diamalkan oleh setiap individu muslim. Ada beberapa faktor yang boleh menjana sikap istiqamah dalam beribadah antaranya:

Pertama: Ilmu yang Mantap

Kekuatan ilmu adalah perkara utama dalam menjana rasa istiqamah. Melalui ilmu akan menumbuhkan keyakinan serta keimanan yang kukuh.

Oleh itu, ilmu pengetahuan atau makrifah adalah perkara yang mesti dipelajari terlebih dahulu sebelum ibadah dapat dilakukan dengan sempurna.

Ini kerana tidak mungkin seseorang itu tertumpu kepada sesuatu yang tidak ia ketahui hakikatnya.

Perkaitan antara ibadah dan istiqamah telah diungkap oleh Allah dalam firman-Nya; “Dan supaya orang-orang yang telah diberi ilmu meyakini bahawa al-Quran itu adalah yang hak daripada Tuhan kamu, lalu mereka beriman dengan-Nya, sehingga tunduk taatlah hati mereka mematuhi-Nya.” (Surah al-Hajj: 54)

Kemantapan ilmu akan menjadikan nilai ibadah lebih bermakna. Kita juga akan memahami tujuan ibadah tersebut, bagaimana pelaksanaan yang sebenar serta lebih yakin tentang hikmah-hikmah yang terkandung di dalam setiap ibadah.

Ia juga mendorong seseorang muslim itu melakukan ibadah bukan sekadar ikut-ikutan tanpa memahami tuntutan sebenar ibadah tersebut.

Kedua: Bersahabat dengan orang-orang yang beristiqamah

Sahabat adalah cermin bagi seseorang dan ini dinyatakan oleh Rasulullah dalam sabdanya yang bermaksud; “Orang mukmin laksana cermin bagi mukmin yang lain (untuk membetulkan diri),” (Hadis riwayat Abu Daud).

Orang-orang yang berjiwa istiqamah akan sentiasa berbuat kebajikan, nasihat-menasihati dan tidak mudah berputus asa serta sabar dalam melaksanakan ibadah.

Dr. Yusuf al-Qaradhawi menyatakan, bergaul dengan mereka yang beristiqamah merupakan suatu kebajikan, manakala meniru cara hidup mereka merupakan satu kejayaan.

Dalam hal ini, Rasulullah pernah bersabda iaitu; “Bandingan teman yang baik dan teman yang jahat bagaikan pembawa kasturi dan peniup dapur api. "

“Pembawa kasturi sama ada dia memberikan kasturi kepada anda, ataupun anda akan membelinya atau sekurang-kurangnya anda mendapat bau wangi daripadanya. "

“Sedangkan peniup dapur api, mungkin dia membakarkan pakaian anda atau anda mendapat bau busuk daripadanya.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Justeru, kita perlu berhati-hati dalam memilih sahabat. Implikasi bersahabat amat besar dalam mempengaruhi mentaliti dan moral kita.

Imam Syafie pernah berkata; “Apabila tidak aku temui sahabat-sahabat yang bertakwa, lebih baik aku hidup menyendiri, daripada aku harus bergaul dengan orang-orang yang jahat dan buruk akhlak."

Ketiga: Menghayati sirah orang-orang yang beristiqamah

Sirah atau sejarah hidup orang-orang yang beristiqamah wajar dibaca dan hidupkan di dalam diri kita.

Dengan cara ini, pengaruh positif mereka bakal meninggalkan kesan yang baik kepada seseorang untuk menimbulkan keazamannya dalam meneladani kehidupan mereka.

Sikap istiqamah mereka terpancar dari sudut keilmuan seperti kegigihan dalam menuntut serta menyampaikan ilmu dan menulis karya-karya ilmiah yang agung.

Selain itu, umat Islam perlu juga sentiasa menghayati ketahanan daya istiqamah pejuang-pejuang terdahulu dalam jihad mereka menegakkan Islam serta ketabahan mereka ketika menghadapi kezaliman dan penganiayaan daripada musuh-musuh Allah.

Contohnya Imam Syafie pernah berkata; “Aku berjaga di tengah malam untuk menekuni ilmu, ia lebih nikmat bagiku berbanding lagu merdu dan harum wangian."

“Goresan penaku di atas lembaran kertas terasa lebih indah berbanding khayalan. Bergelut dengan masalah keilmuan lebih mengasyikkan dibanding mendengar nyanyian seorang gadis. Aku berjaga setiap malam untuk belajar, pada saat insan lain lelap tidur.”

Keempat: Mujahadah melawan nafsu

Antara faktor yang dapat membantu kita untuk mencapai sikap istiqamah ialah mujahadah iatu mengarahkan hati untuk berjuang melawan runtunan nafsu yang merangsang ke arah kejahatan.

Di samping itu, keinginan nafsu serta kehendak-kehendak duniawi wajarlah dibimbing sehingga ia menjurus ke arah kebaikan dan keikhlasan kerana Allah semata-mata.

Memang tidak dinafikan, mujahadah melawan hawa nafsu itu tidak mudah. Ia adalah suatu yang mencabar dan perlu ditempuhi bagi mereka inginkan jalan akhirat.

Segala kesulitan dalam bermujahadah melawan hawa nafsu adalah ujian yang perlu ditangani dengan bersungguh-sungguh, sabar serta tawakal kepada-Nya.

Allah menegaskan hal ini melalui firman-Nya yang bermaksud: “Maka sesungguhnya tiap-tiap kesukaran itu disertai kesenangan. Sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kesenangan.” (Surah al-Insyirah: 5-6)

Orang-orang yang berjihad melawan kehendak nafsu yang keji begitu dikasihi oleh Allah sehingga mereka dijanjikan dengan petunjuk-Nya.

Firman-Nya yang bermaksud: “Dan orang-orang yang berjihad pada jalan Kami, sesungguhnya akan Kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami, dan sesungguhnya Allah benar-benar bersama orang-orang yang berbuat kebaikan.” (Surah al-Ankabut)

Ayat tersebut dikategorikan sebagai makkiyah dan ia diturunkan sebelum perintah jihad secara ketenteraan (berperang) disyariatkan.

Menurut Dr. Yusuf al-Qaradhawi, ini bermaksud bahawa ayat tersebut lebih tepat mengenai jihad-jihad yang lain iaitu seperti perjuangan melawan hawa nafsu.

Sabda Rasulullah yang bermaksud; “Mujahid (orang yang berjihad) itu ialah mereka yang berjihad melawan hawa nafsunya kerana Allah.” (Hadis riwayat al-Tirmidzi dan Ahmad)

Kelima: Doa memohon pertolongan Allah

Umat Islam perlu berdoa memohon pertolongan Allah dalam apa jua urusan hidup, sama ada di saat senang mahupun di waktu ditimpa kesusahan.

Doa adalah senjata bagi orang mukmin dan dalam hal ini seorang ulama hadis, Imam Al-Syaukani menyatakan bahawa doa merupakan darjat ibadah paling tinggi dan mulia.

Justeru, umat Islam perlu menggunakan senjata rohaniah ini untuk memohon hidayah Allah supaya segala tuntutan syariat akan dapat direalisasikan secara istiqamah dan dengan penuh rasa keikhlasan.

Allah memerintahkan manusia supaya berdoa kepada-Nya dalam firman-Nya yang bermaksud; “Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (beritahulah kepada mereka) bahawasanya Aku sentiasa hampir (kepada mereka), Aku memperkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepada-Ku. Maka hendaklah mereka menyahut seruan-Ku (dengan mematuhi segala perintah-Ku) dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku agar mereka sentiasa berada dalam petunjuk kebenaran.” (Surah al-Baqarah: 186)

Istiqamah merupakan keperluan asasi dalam segenap ibadah kerana ia adalah bukti ketaatan serta kecintaan sebagai seorang hamba kepada pencipta.

Meskipun ibadah yang kita lakukan itu kecil sahaja tetapi jika dilaksanakan secara istiqamah, maka ia lebih disukai oleh Allah berbanding ibadah yang besar tetapi tidak disertai dengan sikap istiqamah.

0 comments

Post a Comment