7 PRINSIP KEJAYAAN DALAM PEPERIKSAAN

Posted by BALAI ISLAM 8TH | 7:18 AM | 0 comments »

1. IMAN

Keimanan kepada Allah SWT adalah induk segala kehidupan dan kejayaan hakiki, kerana Dialah Tuhan Sekalian Alam.Dialah yang berkuasa memberi rezeki kepada hamba-hambaNya termasuklah kejayaan dalam peperiksaan. Keimanan kepada Allah wajib disokong dengan kepercayaan yang benar pada Rukun Iman dan ia pula wajib dipraktikkan dengan tuntutan Rukun Islam dengan penuh istiqomah.

Firman Allah SWT, mafhumnya :

“ dan beristiqomahlah ( dalam melaksanakan urusan agama ) sebagaimana diperintahkan kepadamu dan janganlah mengikuti hawa nafsu mereka ( yang tidak beriman itu ).” ( Surah Asy – Syura 42:15 )


2. AMAL SOLEH

Amal soleh merujuk kepada hubungan seseorang hamba kepada Allah SWT menerusi aspek pengabdian diri menurut landasan syariat yang benar.Untuk memperolehi bentuk ibadah yang benar agar diterima Allah Taala mesti merujuk kepada ibadat yang di bawa oleh Nabi SAW kerana Allah telah berfirman yang mafhumnya :

“ Katakanlah : ‘Jika kamu ( benar-benar ) mencintai Allah, Ikutilah aku, nescaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu.’ Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” ( Surah Ali-Imran 2:31 ).


3. IKHLAS

Maksud ikhlas ialah melaksanakan amal kebaikan dengan penuh perasaan jujur dan datang dari kehendak diri sendiri semata-mata kerana menjunjunga perintah Allah SWT, atau takut kepadaNya, atau mengharapkan keampunan dan balasan baik dariNya serta bukan untuk menunjuk-nunjuk dan bangga diri.

Ikhlas umpama kepala kepada badan, inti kepada makanan dan asas kepada bangunan.Jika ia rosak, maka rosaklah keseluruhannya. Seperti Sabda Nabi SAW :

“ Apabila elok darah itu, maka eloklah seluruh anggota badan yang lain, dan apabila rosak darah itu maka rosaklah anggota badan yang lain. Ketahuilah! Itulah dia hati.” ( Hadis Sohih riwayat Al-Bukhari ).

Sebab itu, siapa yang mengikut hati yang rosak lambat laun akan binasa.Umpama mengikut kata hati untuk mencuba merokok kelak badan batuk terkokoh-kokoh, cuba menghisap dadah kelak batang tubuh mati macam batang galah, merempit – rempit tengah malam kelaknya tubuh mati tersepit dan melayang atau cuba berzina kelak diri malu terhina badan pula merana dek api neraka.

Jadi, maksud ikhlas dalam belajar ialah menerima didikan dari pensyarah dengan penuh kerelaan di samping taat dan patuh kepada mereka selagi mana tidak melanggar syara’, disertai dengan jiwa yang penuh minat, usaha yang bersungguh-sungguh, tabah dan sabar walaupun memakan masa yang lama.


4. SABAR

Sabar pula ialah menghadapi tekanan atau keadaan dan menerima dengan penuh keikhlasan terhadapnya walaupun kadang-kadang ia berlawanan dengan hawa nafsu, tanpa ada perasaan memberontak atau bersungut-sungut. Antara bentuk-bentuk sabar ialah :

*Sabar dalam melaksanakan ketaatan kepada Allah.

*Sabar dalam menolak kemaksiatan.

*Sabar dalam menerima hikmat Allah.

*Sabar dalam memohon pertolongan.

*Sabar dalam menghadapi musibah atau malapetaka.

Firman Allah SWT yang mafhumnya:

“ Maka bersabarlah kamu seperti orang-orang yang mempunya keteguhan hati dari rasul-rasul..” ( Al- Ahqaf 46:35 )


5. DOA

Allah sangat suka kepada hambaNya yang sentiasa berdoa sama ada di waktu senang atau susah. Allah SWT Maha Pemurah, Maha Memperkenankan permintaan hamba-hambaNya. Manusia kadangkala diserbu rasa malu dan segan untuk berdoa lantaran memikirkan dosa-dosanya.Harus diingat! Orang yang banyak dosalah yang perlu banyak berdoa. Firman Allah SWT yang mafhumnya:

“ Dan apabila hamba-hambaKu bertanyakepadaKu tentang Aku, Maka ( jawablah ), bahawasanya Aku adalah dekat, Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepadaKu, Maka hendaklah mereka itu memenuhi ( segala perintahKu ) dan hendaklah mereka beriman kepadaKU, agar mereka selalu berada dalam kebenaran.” ( Al - Baqarah 2: 186 )

Jadi, jika kita inginkan kejayaan yang maksimum dalam peperiksaan, mengapa kita tidak berdoa kepadaNya ???


6. TAWAKKAL

Tawakkal ertinya menyerahkan hasil keputusan bagi Allah sesuatu urusan yang telah dilaksanakan sama ada baik atau buruk. Tetapi,harus diingat, syarat tawakkal haruslah didahului dengan ikhtiar dan usaha yang bersungguh-sungguh.Allah sangat menyukai orang yang bertawakkal sesudah berusaha.Dengan bertawakkal Allah akan mengeluarkan segala kesusahan dan digantikan dengan kesenangan. Firman Allah yang mafhumnya :

“ …sesiapa yang bertaqwa kepada Allah nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar.Dan memberi rezeki dari arah yang tidak disangka-sangkanya. Sesiapa yang bertawakkal kepada Allah nescaya Allah akan cukupkan ( keperluannya).Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu.” ( 65 : 2-3 )


7. MENARUH HARAPAN BAIK

Jika sudah benar-benar berusaha, seseorang itu hendaklah menaruh harapan baik dan tinggi kepada Allah Taala bahawa Dia akan menetapkan apa yang terbaik untuk seseorang itu. Oleh itu, janganlah berburuk sangka kepada urusan Allah bahkan ia adalah sifat golongan munafikin, lalu mereka mendapat ancaman azab Allah SWT menerusi firmannya yang bermaksud :

“ Pasti Dia akan mengazab orang-orang munafik laki-laki dan perempuan yang berprasangka buruk terhadap Allah.Mereka akan mendapat giliran ( binasaan ) yang amat buruk dan Allah memurkai dan mengutuk mereka serta menyediakan bagi mereka neraka jahanam. Dan ( neraka jahanam) Itulah seburuk-buruk tempat kembali.” ( Al- Fath 48 :6 )


Demikianlah 7 prinsip penting yang dimiliki oleh para Nabi dan Rasul ketika menerima dan melaksanakan ujian dari Allah SWT. Hasilnya,mereka memperolehi kejayaan yang cemerlang di dunia dan akhirat.

0 comments

Post a Comment